Tuesday 28 February 2012

Peruntukan BR1M Bukan Rasuah Politik

KUALA TERENGGANU: Datuk Seri Najib Razak berkata, penyerahan sumbangan dan peruntukan menjelang pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu pada 17 Januari ini tidak boleh
dianggap sebagai rasuah politik kerana adalah sebahagian daripada pakej rangsangan fiskal yang sudah diluluskan kerajaan.

Timbalan Perdana Menteri berkata, kerajaan sudah merumus pelan pembangunan menyeluruh menerusi pakej rangsangan fiskal yang diumumkan pada 4 November tahun lalu bagi mengelakkan negara menerima kesan daripada penyederhanaan ekonomi global berpunca daripada krisis subprima di Amerika Syarikat.

“Apa yang kita buat dalam sehari dua ini sebahagian daripada projek dalam pakej rangsangan fiskal yang saya umumkan di Parlimen.

“Pakej rangsangan fiskal ini meliputi bantuan untuk seluruh negara. Jadi apa yang kita lakukan ini untuk membahagikan bantuan bagi daerah Kuala Terengganu dan Terengganu.

“Itu bukan pembelian undi tetapi cuma pelaksanaan yang sudah kita tentukan bermula bulan ini sebelum Allahyarham Datuk Razali (Ismail) meninggal dunia," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis perjumpaan mesra bersama imam dan bilal dan penyerahan cek bantuan sekolah agama bantuan kerajaan (SABK) di sini, semalam.

Hadir sama Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu, Datuk Tengku Putera Awang dan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom.

Memberi contoh, Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, pemberian sumbangan kepada SABK dan kontrak kepada kontraktor kelas F untuk Projek Infrastruktur Awam (PIA) dan Projek Infrastruktur Asas (PIAS) semalam, adalah sebahagian daripada projek yang diluluskan dalam pakej rangsangan fiskal RM7 bilion itu.

“Kita sudah tetapkan bahawa mulai Januari ini projek berkenaan mesti dilaksanakan dan peruntukan dibelanjakan tahun ini, jangan dibawa ke tahun depan. Bantuan kepada SABK juga adalah sebahagian rangsangan fiskal kerana kerajaan sudah mengumumkan bantuan RM50 juta untuk sekolah bantuan modal merangkumi sekolah agama, Cina dan Tamil yang akan kita berikan sikit masa lagi,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Najib yang juga Pengarah Pilihan Raya Kecil BN Kuala Terengganu berkata, gerak kerja jentera kempen akan diperhebatkan lagi kerana sedar dengan hakikat parti itu berdepan saingan yang hebat.

“Selepas lima hari (kempen) maklum balas yang kita terima adalah positif dan jentera berjalan dengan baik. Cuma kawasan ini luas, ada lebih 80,000 pengundi, jadi kita perlu teruskan usaha untuk meliputi semua (pengundi),” katanya sambil mengakui masih ada beberapa aspek jentera kempen yang perlu dibaiki.

Sumber: Berita Harian

No comments:

Post a Comment