Berita Harian Online | Timbalan Pengarah SKMM nafi tuduhan rasuah
SHAH ALAM: Timbalan Pengarah di Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, semalam, terhadap dua tuduhan rasuah yang turut membabitkan isterinya dan seorang individu lain, bulan lalu.
Bagi pertuduhan pertama, Timbalan Pengarah Bahagian Kandungan dan Penguat Kuasa di SKMM, Noor Mohamed Khan Mohamed Mastan, didakwa mengikut Seksyen 16 (a)(A), Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) kerana bersubahat dengan isterinya, Suraya Hani Ahmad Zaki, 32, dan Noorshidin Mohd Noor, 40 menerima rasuah RM250,000 daripada Ketua Pegawai Operasi Siaga Informatics Sdn Bhd (SISB), Mohd Shukri Othman, sebagai upah bagi mereka yang kononnya membantu syarikat itu memperoleh surat tawaran bagi tender membina makmal forensik digital SKMM.
Suraya Hani adalah pengurus akaun sebuah syarikat dan Noorshidin pula pengarah urusan sebuah syarikat.
Pertuduhan kedua, Noor Mohamed Khan tidak mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu bersubahat dengan Suraya Hani dan Noorshidin yang cuba menipu Mohd Shukri bahawa mereka membantu SISB memperoleh surat tawaran tender berkenaan, sedangkan ia tidak benar, hingga mendorong Mohd Shukri memberi wang tunai RM250,000.
Kedua-dua kesalahan itu dilakukan di pejabat SISB di Subang Jaya, kira-kira jam 10.25 pagi pada 14 Mac 2012.
Hakim Asmadi Hussin kemudian membenarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 23 April ini sebagai tarikh sebutan semula kes.
Sementara itu, di Mahkamah Sesyen berasingan, Suraya Hani dan Noorshidin mengaku tidak bersalah terhadap satu pertuduhan menerima rasuah bernilai RM250,000 daripada Mohd Shukri sebagai upah bagi mereka yang kononnya membantu syarikat itu memperoleh surat tawaran bagi tender membina makmal forensik digital SKMM.
Mereka juga mengaku tidak bersalah terhadap satu pertuduhan pilihan iaitu cuba menipu Mohd Shukri bahawa mereka membantu syarikat mangsa memperoleh surat tawaran bagi pembinaan makmal forensik digital SKMM hingga menyebabkan mangsa mengeluarkan wang RM250,000 itu.
Hakim M Bakri Abd Majid kemudian menetapkan setiap tertuduh membayar jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin, manakala kes itu akan disebut semula pada 27 April ini.
Sumber : Berita Harian 2012/04/10
SPR UTeM adalah satu pertubuhan yang dianggotai oleh mahasiswa dan mahasiswi UTeM yang bertujuan untuk meningkatkan kesedaran tentang bahaya rasuah kepada negara serta melahirkan rasa benci dikalangan mahasiswa kepada amalan rasuah seterusnya diharapkan dapat mencegah amalan rasuah ini dari terus menular ke dalam budaya masyarakat Malaysia. Segala pandangan sila tinggalkan komen pada mana-mana post kami atau email terus kepada sprutem2011@yahoo.com .."Bersama Kita Hapuskan Rasuah!"
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment